Friday, January 23, 2009

Zakat Fitrah

Tarikh tazkirah : 29/09/08
Assalamualaikum dan salam sejahtera, Alhamdulillah bertemu kita kembali di hari yang mulia ini dan lebih bermakna di bulan yang penuh dengan barakah ini. Tinggal kurang dari seminggu lagi bulan Ramadhan akan meninggalkan kita dan bulan Syawal bakal menjelma. Kepada mereka yang baru mendirikan rumahtangga, ini merupakan kali pertama kalian meraikan eidulfitri bersama ahli keluarga yang baru dan insyaAllah hari raya ini lebih bererti kepada kalian sekeluarga.
Pada hari ini, saya ingin berkongsi satu hadith dari Ibnu Abbas r.a. katanya: “ Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedakah biasa seperti sedekah sunat yang lain.”
Huraian
1. Zakat fitrah adalah diwajibkan kepada semua orang-orang Islam.
2. Zakat fitrah ialah zakat badan yang dikeluarkan untuk diberi kepada fakir miskin bagi membersihkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia sepanjang bulan Ramadhan.
3. Zakat yang diwajibkan ialah berupa makanan utama di sesebuah negeri seperti beras, gandum dan sebagainya atau di Malaysia, kadar bayarannya bersamaan dengan tiga cupak sukatan beras atau tiga kati dua belas tahil (dua Kilo 250 gram) *Untuk tahun ini, kadar bagi Kuala Lumpur dan Selangor adalah RM5.20
4. Pembayaran fitrah dengan menggunakan wang ringgit pula hendaklah dilafazkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku pada tahun ini, kerana Allah.” (mengikut kadar nilai yang ditetapkan oleh pihak pemerintah)
5. Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadhan sehingga akhirnya iaitu sebelum sembahyang hari raya. Maka bagi sesiapa yang membayarnya selepas sembahyang hari raya, baginya menjadi sedekah biasa sahaja.
Jadi sama-sama kita ambil iktibar dari hadith di atas dan insyaAllah kita menjadi insan yang lebih disayangi oleh Allah SWT.

No comments:

Post a Comment