Friday, January 30, 2009

Fitnah

Tarikh tazkirah : 26/12/08

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,

Alangkah untungnya kita yang berada di Malaysia ini, aman tenteram berbanding negara-negara Islam lain yang bergolak seperti Somalia atau pun Palestin. Marilah kita bersama-sama berdoa agar ketenangan ini berkekalan dan semoga Allah sentiasa melindungi umat Islam di Malaysia, khususnya dan di seluruh dunia, amnya.

Apakah pernah kita terfikir punca pergolakan dan huru hara di sesebuah negara berlaku? Salah satu puncanya adalah disebabkan fitnah. Di Malaysia sendiri, fitnah berlaku di merata-rata tempat pada ketika ini. Tuduh menuduh ataupun menyebarkan berita yang tidak mempunyai bukti yang sahih merupakan permulaan terhadap kehancuran sesebuah negara. Mari kita menghayati sejenak satu hadith di bawah yang berkaitan dengan fitnah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Syaitan akan menghantar tentera-tenteranya untuk memfitnah manusia, manusia yang lebih tinggi kedudukan akan mendapat fitnah syaitan yang lebih hebat. Syaitan akan datang kepada seseorang kamu dan berkata:”Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini? Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini ? Sehingga syaitan akan berkata:” Siapakah yang telah menjadikan Tuhan kamu?” Apabila perkara ini berlaku kepada kamu maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”

Huraian

1.Lintasan hati tidak akan memudaratkan iman yang ada pada seseorang.

2.Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan. Oleh itu sebarang bisikan yang menafikan segala kesempurnaan Allah wajib disanggah agar seseorang itu bebas daripada kesesatan yang meracuni akal fikirannya.

3.Kemungkaran dan kemaksiatan adalah jalan yang memandu manusia ke arah kesesatan. Ia merupakan perangkap syaitan dan Iblis yang mahukan manusia tergolong sebagai makhluk yang menderhaka seperti mereka. Berdasarkan hadith di atas, semakin tinggi kedudukan kita, semakin kuat dugaan atau godaan yang akan berlaku pada diri ini. Oleh itu, kita hendaklah senantiasa berdoa kepada Allah agar kita dilindungi oleh fitnah yang banyak berlaku pada ketika ini.

Sebelum saya mengakhiri cerita hari jumaat, mari kita sama-sama renungkan ayat ini.... "Ada empat hal yang dapat mengangkat seseorang kepada darjat yang tertinggi, walaupun amal dan ibadahnya sedikit, iaitu bersifat pemaaf, merendah diri, pemurah dan budi pekerti yang baik. Itulah kesempurnaan iman" (Abul Qasim Al-Junaid).

Selamat bercuti panjang kepada semua dan Assalamualaikum :)

Jihad

Tarikh tazkirah : 23/01/09

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulillah setelah dekat sebulan negara Palestin diserang oleh Zionis Laknatullah, penduduk Islam Palestin tanpa kenal erti putus asa dan takut berjuang hingga titisan darah yang terakhir dalam mempertahankan tanah air dan yang lebih penting tanah suci Islam.

Alangkah beruntungnya mereka ini kerana mempunyai peluang untuk berjuang di atas nama Allah dan jika ditakdirkan mati di dalam medan perjuangan, adalah janji Allah mereka akan mati sebagai pejuang syahid. MasyaAllah.

Di sini saya ingin berkongsi satu hadith yang berkaitan perjuangan.

Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:

“Ada seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah siapakah orang yang paling utama?. Jawab Baginda saw, Iaitu orang mukmin yang berjihad dengan dirinya sendiri pada jalan Allah, lelaki itu bertanya lagi, selepas itu siapa lagi?, “Baginda saw. Menjawab yang mengasingkan dirinya dilereng lereng bukit untuk beribadat kepada Tuhannya. Dalam satu riwayat yang lain, iaitu orang bertaqwa kepada Allah dan meninggalkan (mengasingkan dirinya) daripada orang yang melakukan kejahatan”.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian

1. Maksud sebenar-benar jihad ialah orang yang sentiasa berusaha memperbaiki dirinya untuk bertaqwa kepada Allah S.W.T. serta membelanjakan hartanya ke jalan yang diredhai.

2. Islam menuntut umatnya menyeru kearah kebaikan dan menentang kemungkaran. Usaha ini hendaklah dilakukan secara berperingkat seperti yang dilakukan oleh syarak.

3. Jihad dalam erti kata yang luas ialah kita dikehendaki sama-sama memperjuang dan memperlengkapkan diri bagi mencapai hasrat untuk kemajuan agama, bangsa dan negara serta mempertahankannya dari sebarang ancaman musuh baik dari dalam mahupun dari luar.

MasyaAllah begitu besar ertinya perjuangan jihad ini sebenarnya rakan-rakanku.

Dalam kehidupan kita seharian, kita senantiasa berusaha keras untuk menjadikan hari ini lebih baik dari hari semalam. Tapi apakah kita sedar bahawa dalam proses itu, kita sebenarnya melatih diri kita untuk menjadi insan yang lebih baik?

Apabila seseorang itu mencapai satu tahap yang amat tinggi dari segi ilmu dan ekonomi, bayangkan betapa kuatnya kita sebagai satu bangsa Islam yang akan dapat membantu saudara Islam kita yang dalam kesusahan.

Sayang sekali pada ketika ini, apa yang berlaku adalah apabila berlakunya peperangan, kita terlalu mengharapkan orang kafir Laknatullah seperti Amerika atau Eropah untuk membantu menyelesaikan masalah umat Islam. Adakah mereka akan membantu kita kalau difikirkan secara logik? TIDAK SAMA SEKALI.

Jadi ingatlah bahawa perjuangan bukan setakat mengangkat senjata, tetapi dengan melatih diri kita menjadi insan yang terbaik di kalangan masyarakat adalah satu perjuangan.

InsyaAllah perjuangan kita selama ini diberkati oleh Allah. InsyaAllah.

Wednesday, January 28, 2009

Ibadah Haji

Tarikh tazkirah : 21/11/08
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua,
Alhamdulillah setelah sekian lama kite tidak berbicara dan di kesempatan pada hari Jumaat ini, mari kita panjatkan kesyukuran kerana masih hidup untuk beribadah kepadaNya. InsyaAllah.
Untuk makluman tuan, kita mempunyai 17 hari sahaja lagi bagi umat Islam di Tanah Suci sebelum jemaah haji akan bergerak ke Arafah bagi mengerjakan ibadah haji untuk tahun ini. Di sini saya ingin berkongsi mengenai satu hadith berkenaan ibadah haji.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah kepada kami semua serta bersabda. “Wahai manusia sesungguhnya Allah S.W.T. mewajibkan ke atas kamu ibadat haji. Maka hendaklah kamu semua mengerjakannya” . Tiba-tiba seorang lelaki bertanya, “Adakah wajib ditunaikan setiap tahun, ya Rasulullah?”. Baginda hanya berdiam diri sahaja, tidak menjawab pertanyaan lelaki itu, sehingga lelaki itu bertanya tiga kali, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jika aku menjawab ya, Ibadat haji akan menjadi wajib pada setiap tahun, tentu kamu semua tidak terdaya mengerjakannya.” Seterusnya baginda bersabda, “Janganlah bertanya lagi kepadaku tentang perkara ini, apa sahaja yang aku tidak menyebutnya maka tinggalkan sahaja. Sesungguhnya orang yang sebelum kamu itu menjadi rosak disebabkan terlalu banyak mengemukakan pertanyaan mereka, kemudian mereka menyalahkan Nabi-Nabi mereka. Oleh yang demikian apabila aku memerintahkan kepada kamu semua dengan sesuatu perkara, lakukanlah dengan bersungguh-sungguh mengikut kemampuan kamu. Sebaliknya jika aku melarang kamu semua dari melakukan sesuatu perkara itu hendaklah kamu tinggalkan”.
Huraian
1. Ibadat Haji adalah merupakan rukun Islam yang kelima. Maka adalah menjadi kewajiban kepada semua umat Islam untuk mengerjakannya, jika sudah memenuhi dan mencukupi semua syarat-syaratnya.
2. Allah S.W.T sekali-kali tidak memberatkan hambanya di dalam mengerjakan ibadat yang wajib atau pun sunat kerana setiap hukum yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan juga hadith adalah berdasarkan kemampuan seseorang hamba itu sendiri.
3. Islam melarang kita mempersoalkan perkara-perkara yang telah ditetapkan oleh syarak, seperti perkara yang wajib, sunat, makruh, harus, haram dan sebagainya kerana semakin banyak pertanyaan yang timbul maka akan menyebabkan banyak kesusahan dan kesulitan yang berlaku sehingga kadangkala berlaku perkara saling menyalahkan orang lain.
4. Islam mengajar umatnya supaya mentaati pemimpin-pemimpin mereka selagi mereka tidak menyuruh melakukan perkara-perkara maksiat serta melanggar perintah Allah S.W.T. dan Rasul-Nya.
Sesungguhnya di waktu ini, terdapat pelbagai bahan rujukan yang membuatkan kita keliru dalam mengerjakan ibadah seharian kita, dan jika ini berlaku hendaklah kita kembali kepada Al Quran dan hadith. InsyaAllah kita akan sentiasa berada di jalan yang benar.

Friday, January 23, 2009

Zakat Fitrah

Tarikh tazkirah : 29/09/08
Assalamualaikum dan salam sejahtera, Alhamdulillah bertemu kita kembali di hari yang mulia ini dan lebih bermakna di bulan yang penuh dengan barakah ini. Tinggal kurang dari seminggu lagi bulan Ramadhan akan meninggalkan kita dan bulan Syawal bakal menjelma. Kepada mereka yang baru mendirikan rumahtangga, ini merupakan kali pertama kalian meraikan eidulfitri bersama ahli keluarga yang baru dan insyaAllah hari raya ini lebih bererti kepada kalian sekeluarga.
Pada hari ini, saya ingin berkongsi satu hadith dari Ibnu Abbas r.a. katanya: “ Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedakah biasa seperti sedekah sunat yang lain.”
Huraian
1. Zakat fitrah adalah diwajibkan kepada semua orang-orang Islam.
2. Zakat fitrah ialah zakat badan yang dikeluarkan untuk diberi kepada fakir miskin bagi membersihkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia sepanjang bulan Ramadhan.
3. Zakat yang diwajibkan ialah berupa makanan utama di sesebuah negeri seperti beras, gandum dan sebagainya atau di Malaysia, kadar bayarannya bersamaan dengan tiga cupak sukatan beras atau tiga kati dua belas tahil (dua Kilo 250 gram) *Untuk tahun ini, kadar bagi Kuala Lumpur dan Selangor adalah RM5.20
4. Pembayaran fitrah dengan menggunakan wang ringgit pula hendaklah dilafazkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku pada tahun ini, kerana Allah.” (mengikut kadar nilai yang ditetapkan oleh pihak pemerintah)
5. Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadhan sehingga akhirnya iaitu sebelum sembahyang hari raya. Maka bagi sesiapa yang membayarnya selepas sembahyang hari raya, baginya menjadi sedekah biasa sahaja.
Jadi sama-sama kita ambil iktibar dari hadith di atas dan insyaAllah kita menjadi insan yang lebih disayangi oleh Allah SWT.

Tahun Baru Hijrah 1430

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua, Alhamdulillah kini kita telah berada di dalam tahun baru iaitu 1430 Hijrah dan juga tahun baru masihi, 2009. Pelbagai kenangan dan pengalaman yang ditempuhi di dalam tahun 1429/2008 yang boleh kita jadikan pengajaran untuk menghadapi tahun yang baru ini. Apa yang menyedihkan kita sebagai umat Islam pada ketika ini, saudara kita yang berada di bumi Palestin, sedang menghadapi satu keadaan yang amat dahsyat di mana mereka telah diserang oleh tentera Zionis Laknatullah. Yang paling kejam sekali, masjid telah menjadi sasaran oleh tentera Zionis ini seperti yang dipaparkan di halaman Utusan Malaysia.
Di sini saya ingin berkongsi satu hadith yang berbunyi: - Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: “Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani. “ Huraian1. Islam menyerlahkan perbezaan yang begitu ketara dengan agama-agama lain agar umatnya tidak terkeliru seperti membezakan arah qiblat, kitab suci, hari raya, hari kebesaran dan sebagainya.2. Islam menetapkan bahawa hari Jumaat adalah sebagai penghulu segala hari. Ini berbeza dengan Yahudi yang membesarkan hari Sabtu dan Kristian yang membesarkan hari Ahad.3. Perbezaan-perbezaan yang ditetapkan oleh Islam ini hendaklah diamalkan dan dihayati secara praktikal oleh umat Islam kerana dengan cara ini akan menyerlahkan lagi jati diri setiap muslim serta menjauhkan mereka daripada terpengaruh dengan adat dan budaya yang cuba dibawa masuk oleh musuh Islam.4. Kegagalan umat Islam dalam mempromosikan Islam terhadap masyarakat bukan Islam akan mengakibatkan umat Islam dipandang hina dan Islam dipandang sepi. Dengan itu umat Islam hendaklah berhati-hati agar tidak terikut dengan semua adat dan budaya orang-orang bukan Islam sehingga membawa kepada rosaknya aqidah dan terpadamnya garisan yang telah ditetapkan oleh syarak.
MasyaAllah, betapa sayangnya Allah kepada umat Nabi Muhammad ini, sampaikan hari kebesaran pun kita asingkan daripada kaum lain. Tetapi sayangnya pada ketika ini, dengan pengaruh barat dan sekularisme, yang memisahkan agama dari kehidupan seharian menyebabkan kita sebagai umat Islam tidak lagi berbangga sebagai umat yang terpilih, sebaliknya sanggup menghambakan diri terhadap pengaruh dunia barat yang tidak kenal erti dosa atau pahala. Marilah kita bersama-sama di hari yang mulia ini berdoa agar umat Islam di Palestin, khususnya dan di dunia ini, amnya dilindungi oleh Allah dan pada saat dan ketika ini, marilah kita berazam untuk mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar agar dunia lebih menghormati kita dan kita lebih berani dalam mempertahankan agama yang kita cintai ini.