Tarikh tazkirah : 26/12/08
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua,
Alangkah untungnya kita yang berada di Malaysia ini, aman tenteram berbanding negara-negara Islam lain yang bergolak seperti Somalia atau pun Palestin. Marilah kita bersama-sama berdoa agar ketenangan ini berkekalan dan semoga Allah sentiasa melindungi umat Islam di Malaysia, khususnya dan di seluruh dunia, amnya.
Apakah pernah kita terfikir punca pergolakan dan huru hara di sesebuah negara berlaku? Salah satu puncanya adalah disebabkan fitnah. Di Malaysia sendiri, fitnah berlaku di merata-rata tempat pada ketika ini. Tuduh menuduh ataupun menyebarkan berita yang tidak mempunyai bukti yang sahih merupakan permulaan terhadap kehancuran sesebuah negara. Mari kita menghayati sejenak satu hadith di bawah yang berkaitan dengan fitnah.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Syaitan akan menghantar tentera-tenteranya untuk memfitnah manusia, manusia yang lebih tinggi kedudukan akan mendapat fitnah syaitan yang lebih hebat. Syaitan akan datang kepada seseorang kamu dan berkata:”Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini? Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini ? Sehingga syaitan akan berkata:” Siapakah yang telah menjadikan Tuhan kamu?” Apabila perkara ini berlaku kepada kamu maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”
Huraian
1.Lintasan hati tidak akan memudaratkan iman yang ada pada seseorang.
2.Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan. Oleh itu sebarang bisikan yang menafikan segala kesempurnaan Allah wajib disanggah agar seseorang itu bebas daripada kesesatan yang meracuni akal fikirannya.
3.Kemungkaran dan kemaksiatan adalah jalan yang memandu manusia ke arah kesesatan. Ia merupakan perangkap syaitan dan Iblis yang mahukan manusia tergolong sebagai makhluk yang menderhaka seperti mereka. Berdasarkan hadith di atas, semakin tinggi kedudukan kita, semakin kuat dugaan atau godaan yang akan berlaku pada diri ini. Oleh itu, kita hendaklah senantiasa berdoa kepada Allah agar kita dilindungi oleh fitnah yang banyak berlaku pada ketika ini.
Sebelum saya mengakhiri cerita hari jumaat, mari kita sama-sama renungkan ayat ini.... "Ada empat hal yang dapat mengangkat seseorang kepada darjat yang tertinggi, walaupun amal dan ibadahnya sedikit, iaitu bersifat pemaaf, merendah diri, pemurah dan budi pekerti yang baik. Itulah kesempurnaan iman" (Abul Qasim Al-Junaid).
Selamat bercuti panjang kepada semua dan Assalamualaikum :)