Tarikh tazkirah : 21/11/08
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua,
Alhamdulillah setelah sekian lama kite tidak berbicara dan di kesempatan pada hari Jumaat ini, mari kita panjatkan kesyukuran kerana masih hidup untuk beribadah kepadaNya. InsyaAllah.
Untuk makluman tuan, kita mempunyai 17 hari sahaja lagi bagi umat Islam di Tanah Suci sebelum jemaah haji akan bergerak ke Arafah bagi mengerjakan ibadah haji untuk tahun ini. Di sini saya ingin berkongsi mengenai satu hadith berkenaan ibadah haji.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah kepada kami semua serta bersabda. “Wahai manusia sesungguhnya Allah S.W.T. mewajibkan ke atas kamu ibadat haji. Maka hendaklah kamu semua mengerjakannya” . Tiba-tiba seorang lelaki bertanya, “Adakah wajib ditunaikan setiap tahun, ya Rasulullah?”. Baginda hanya berdiam diri sahaja, tidak menjawab pertanyaan lelaki itu, sehingga lelaki itu bertanya tiga kali, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jika aku menjawab ya, Ibadat haji akan menjadi wajib pada setiap tahun, tentu kamu semua tidak terdaya mengerjakannya.” Seterusnya baginda bersabda, “Janganlah bertanya lagi kepadaku tentang perkara ini, apa sahaja yang aku tidak menyebutnya maka tinggalkan sahaja. Sesungguhnya orang yang sebelum kamu itu menjadi rosak disebabkan terlalu banyak mengemukakan pertanyaan mereka, kemudian mereka menyalahkan Nabi-Nabi mereka. Oleh yang demikian apabila aku memerintahkan kepada kamu semua dengan sesuatu perkara, lakukanlah dengan bersungguh-sungguh mengikut kemampuan kamu. Sebaliknya jika aku melarang kamu semua dari melakukan sesuatu perkara itu hendaklah kamu tinggalkan”.
Huraian
1. Ibadat Haji adalah merupakan rukun Islam yang kelima. Maka adalah menjadi kewajiban kepada semua umat Islam untuk mengerjakannya, jika sudah memenuhi dan mencukupi semua syarat-syaratnya.
2. Allah S.W.T sekali-kali tidak memberatkan hambanya di dalam mengerjakan ibadat yang wajib atau pun sunat kerana setiap hukum yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan juga hadith adalah berdasarkan kemampuan seseorang hamba itu sendiri.
3. Islam melarang kita mempersoalkan perkara-perkara yang telah ditetapkan oleh syarak, seperti perkara yang wajib, sunat, makruh, harus, haram dan sebagainya kerana semakin banyak pertanyaan yang timbul maka akan menyebabkan banyak kesusahan dan kesulitan yang berlaku sehingga kadangkala berlaku perkara saling menyalahkan orang lain.
4. Islam mengajar umatnya supaya mentaati pemimpin-pemimpin mereka selagi mereka tidak menyuruh melakukan perkara-perkara maksiat serta melanggar perintah Allah S.W.T. dan Rasul-Nya.
Sumber : JAKIM (http://www.islam.gov.my/portal/e-hadith.php)
Sesungguhnya di waktu ini, terdapat pelbagai bahan rujukan yang membuatkan kita keliru dalam mengerjakan ibadah seharian kita, dan jika ini berlaku hendaklah kita kembali kepada Al Quran dan hadith. InsyaAllah kita akan sentiasa berada di jalan yang benar.
No comments:
Post a Comment