Friday, January 23, 2009

Tahun Baru Hijrah 1430

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua, Alhamdulillah kini kita telah berada di dalam tahun baru iaitu 1430 Hijrah dan juga tahun baru masihi, 2009. Pelbagai kenangan dan pengalaman yang ditempuhi di dalam tahun 1429/2008 yang boleh kita jadikan pengajaran untuk menghadapi tahun yang baru ini. Apa yang menyedihkan kita sebagai umat Islam pada ketika ini, saudara kita yang berada di bumi Palestin, sedang menghadapi satu keadaan yang amat dahsyat di mana mereka telah diserang oleh tentera Zionis Laknatullah. Yang paling kejam sekali, masjid telah menjadi sasaran oleh tentera Zionis ini seperti yang dipaparkan di halaman Utusan Malaysia.
Di sini saya ingin berkongsi satu hadith yang berbunyi: - Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: “Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani. “ Huraian1. Islam menyerlahkan perbezaan yang begitu ketara dengan agama-agama lain agar umatnya tidak terkeliru seperti membezakan arah qiblat, kitab suci, hari raya, hari kebesaran dan sebagainya.2. Islam menetapkan bahawa hari Jumaat adalah sebagai penghulu segala hari. Ini berbeza dengan Yahudi yang membesarkan hari Sabtu dan Kristian yang membesarkan hari Ahad.3. Perbezaan-perbezaan yang ditetapkan oleh Islam ini hendaklah diamalkan dan dihayati secara praktikal oleh umat Islam kerana dengan cara ini akan menyerlahkan lagi jati diri setiap muslim serta menjauhkan mereka daripada terpengaruh dengan adat dan budaya yang cuba dibawa masuk oleh musuh Islam.4. Kegagalan umat Islam dalam mempromosikan Islam terhadap masyarakat bukan Islam akan mengakibatkan umat Islam dipandang hina dan Islam dipandang sepi. Dengan itu umat Islam hendaklah berhati-hati agar tidak terikut dengan semua adat dan budaya orang-orang bukan Islam sehingga membawa kepada rosaknya aqidah dan terpadamnya garisan yang telah ditetapkan oleh syarak.
MasyaAllah, betapa sayangnya Allah kepada umat Nabi Muhammad ini, sampaikan hari kebesaran pun kita asingkan daripada kaum lain. Tetapi sayangnya pada ketika ini, dengan pengaruh barat dan sekularisme, yang memisahkan agama dari kehidupan seharian menyebabkan kita sebagai umat Islam tidak lagi berbangga sebagai umat yang terpilih, sebaliknya sanggup menghambakan diri terhadap pengaruh dunia barat yang tidak kenal erti dosa atau pahala. Marilah kita bersama-sama di hari yang mulia ini berdoa agar umat Islam di Palestin, khususnya dan di dunia ini, amnya dilindungi oleh Allah dan pada saat dan ketika ini, marilah kita berazam untuk mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar agar dunia lebih menghormati kita dan kita lebih berani dalam mempertahankan agama yang kita cintai ini.

No comments:

Post a Comment